Wednesday, December 31, 2008

Tahun Baru = Cuti Umum

Selamat tinggal 2008, Selamat datang wahai 2009. Tahun datang dan pergi silih berganti, setiap awal dan hujungnya disambut dengan bermacam-macam agenda. Rata-rata manusia bergembira dengan hadirnya tahun baru, entah apa yang diraikan, aku sendiri tidak pasti. Adakah meraikan umur yang semakin menjengah mati? Atau meraikan kejayaan yang diraih dalam masa setahun yang dilalui, mungkin juga meraikan kegagalan azam tahun lepas yang tidak sempat dulinaskan, atau bergembira sekadar kerana melihat orang lain bergembira.
Apa yang pasti, ada satu alasan untuk semua orang bergembira, iaitu tahun baru semestinya cuti umum.Cuti! Bermakna tak perlu pergi bekerja, tak perlu ke sekolah, tak perli ke kuliah dan sebagainya. Namun tinggallah tahun baru sekadar cuti umum tahunan yang diraikan. Apalah sangat dengan cuti umum, dalam setahun terlalu banyak cuti umum, mengapa tidak diraikan seperti meraikan cuti umum tahun baru?Ah, musykil.
2009...hadirmu selepas beberapa hari tahun baru Hijrah diraikan. Ya, tahun baru adalah untuk berhijrah. Kini aku mengerti akan pengertian tahun baru...ya, hijrah. Berhijrahlah dari segala yang buruk kepada yang baik, dari yang negatif kepada yang positif. Hijrah!!!!

Wednesday, December 3, 2008

Hikmah 5 Jari

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentu buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.
Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda??
Nah... naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.
Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.
Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang???

Friday, November 28, 2008

Doa Melepaskan Diri Dari Bebanan Hutang

"Katakanlah Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam buana, Engkau memberi kekuasaan kepada siapa yang Engkau suka. Engkau merampas kekuasaan itu dari siapa sahaja yang Engkau mahu. Rngkau berkuasa memuliakan dan menghinakan siapa yang Engkau mahu. Di tanganMu (wahai Allah) segala kebaikan dan kekayaan. Sesungguhnya Engkau berkuasa berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja. Engkau menabir siang dengan malam. Dan malam pula Engkau berkuasa menabirkannya dengan siang. Engkau menerbitkan suatu yang hidup dari suatu yang kaku/mati, sebegaimana Engkau melahirkan yang kaku/mati dari sesuatu yang hidup. Engkau memberi rezeki tanpa berhitung kepada siapa sahaja yang Engkau mahu."

Monday, November 24, 2008

Perlukah Berehat Terlalu Panjang?

Hidup sebagai mahasiswa sememangnya penuh dengan cabaran, penuh dengan kesibukan, penuh dengan tugasan yang tidak pernah surut sehinggalah semester pengajian melambaikan tangannya mengucapkan selamat tinggal. Yes! Merdeka! Itulah yang dirasakan oleh setiap mahasiswa yang selesai menghabiskan satu semester pengajian, tambah-tambah lagi bagi mereka yang baru sahaja menitik noktah dalam peperiksaan. Kini tibalah masa untuk berehat, bersantai dan bersukaria:-)

Namun, usah berehat terlalu panjang kerana ia memungkinkan kita leka dan alpa. Terlalu dibuai dengan keseronokan dan kebebasan dari sebarang tugasan hingga kita menjadi malas untuk berfikir. Beristirahat itu perlu, namun berpadalah. Terlalu banyak perkara yang belum kita selesaikan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Selamat berjuang, kerana perjuangan itu tiada noktahnya.

Monday, August 18, 2008

ENGKAUlah tempat bergantung

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan)...yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah maaf kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Wednesday, August 13, 2008

Sebatang gigi seratus ringgit?

Sudah dua minggu temanku mengadu sakit gigi. Aku juga pernah diserang sakit gigi, tetapi bila sudah baik, aku lupa bagaimana rasa sakitnya. Yang aku tahu, sakitnya berdenyut-denyut sehingga makan pun tak lalu, tidur pun tak lena. Ish, bunyi macam kena penyakit angau pula. Sebagai teman, aku hanya menjadi pendengar sambil cuba berkongsi rasa. Paling kuat yang aku boleh tolong, aku belikan aspirin untuk membuatkan temanku sedikit lega selepas menelannya.
Malam tadi, sakit gigi temanku menyerang lagi. Kali ini serangannya nampak nekad, sehingga temanku yang ceria itu tak mampu tersenyum lagi. Mood temanku juga bagai gelombang air laut pada musim tengkujuh. Kuat geloranya, semuanya bahana sakit gigi yang menyerang. Aku lihat pipinya sudah mula membengkak. Wah, sudah serius ni...fikirku lantas menyarankan temanku agar ke klinik. Temanku akhirnya setuju walaupun dia paling tidak sukakan doktor dan klinik. Kereta dipandu laju, menghala ke sebuah klinik gigi milik seorang doktor Melayu lulusan UKM. Sebaik tiba, kami kecewa. Klinik tersebut hanya dibuka pada sebelah siang. Temanku tidak mahu ke klinik lain walaupun segala nama klinik yang aku nampak dari jalan kusebut. Akhirnya temanku mengajak pulang, katanya esok datang lagi. Aku hanya menurut, mungkin kesan aspirin telah mengurangkan sakitnya hingga dia bertangguh lagi.
5.00 pagi, tidurku terganggu dengan pergerakan temanku. Hah, dia bangun bersahur? Aku maklum temanku ini sungguh rajin berpuasa sunat bulan Syaaban, tapi kan dia sakit gigi dan bercadang ke klinik esok? Ah, mungkin dia lapar dan sengaja mengisi perut.
Subuh, temanku merengek. Katanya dia mahu ambil MC hari ini. Wah, temanku yang workaholic ini ingin minta MC?Tentu saja kerana sang gigi. Aku hanya mengangguk tanda faham. Sembilan pagi, kami bertolak ke klinik yang kami kunjungi semalam. Dengan bengkak yang semakin bertambah besar, doktor tidak mahu mencabut gigi itu, nanti sakit, kata doktor. Tunggu surut dulu bengkaknya, lima hari lagi baru boleh cabut. temanku membantah, lima hari menanggung azab diserang sakit gigi, dia tidak betah. "Cabut saja," katanya. Doktor akhirnya tiada pilihan dengan kedegilan pesakit.
Darah banyak yang keluar. Kata temanku, memang sakit. Bius yang dicucuk seolah tak berkesan. Tidak lama kemudian, gadis di kaunter memanggil nama temanku. Bebarapa peket ubat diberikan. Aku memasang telinga. Ada ubat tahan sakit, makan apabila sakit sahaja. Antibiotik perlu habiskan, sebab temanku telah kena infection. Semua sekali RM100. Wah, sebatang gigi berharga seratus ringgit hanya untuk dibuang? Mungkin kerana itulah sakitnya memang benar-benar sakit. Moralnya, jagalah gigi anda, kerana walaupun saiznya kecil, penangannya boleh tahan.hehe.

TAHNIAH BUAT PARA GRADUAN

Ogos...bulan di mana para siswazah yang telah berjaya menamatkan pengajian meraikan kejayaan mereka. Bulan ini meriah dengan pesta konvokesyen di IPT seluruh negara. Jubah-jubah pelbagai warna dengan mortarboard digayakan penuh kebanggan. Senyum melebar di wajah para siswazah dan air mata kegembiraan bergenang di tubir mata ibu dan ayah. Alhamdulillah, terbayar jua penat dan lelah.
Namun, jangan lekas leka dan alpa. Bemuhasabahlah walau hanya sebentar cuma. Apakah ilmu yang ditimba masih kekal di dada? Ataupun segalanya telah terpadam usai peperiksaan akhir atau penyerahan tesis? Adakah ilmu yang berharga tersebut bakal digunakan, digilap dan disebar serta dikongsi dengan masyarakat? Ilmu itu adalah amanah, kita insan berilmu punya tanggungjawab yang berat, kerana ilmu inilah yang diharapkan untuk menyembuhkan penyakit masyarakat yang semakin hari semakin tenat. Usah dikira dalam jurusan apa kita, semuanya ilmu dari Allah Yang Maha Mengetahui. Bersedialah untuk menggalas amanah. Gunakanlah ilmu akademik, ilmu agama dan rohani serta ilmu pengalaman untuk membimbing diri kita dalam arus dunia serta membimbing masyarakat ke arah keredhaanNya.
Sekali lagi kita bermuhasabah, berkatkah ilmu yang kita bangga-banggakan? Adakah keredhaan guru telah kita perolehi, adakah tiada lagi kesilapan kita yang tersimpan di hati rakan-rakan sekuliah, adakah kita sudah memohon keizinan dan kemaafan andai dulu tugasan rakan pernah kita ciplak? dan adakah kita masih belum berniat melangsaikan hutang yang menjadi tempat kita berharap suatu masa dahulu...

Wednesday, July 30, 2008

Kata dan Makna

Hari ni aku bangun awal, seawal 3.51 pagi, teringatkan kerja leksikografi yang belum siap sepenuhnya, dan kerja projek yang ingin diperkemaskan lagi. Bergegas ke bilik air, basuh muka agar segar sedikit. Setelah dua tiga helai nota Prof. Shima kubelek-belek, mengantuk datang menggoda. Aku termenung seketika di sofa, nak sambung tidur ke...nak buat kerja? Akhirnya akal dapat mengatasi nafsu...beberapa penambahbaikan dapat aku lakukan dalam kerja projek.
Alhamdulillah.
Berbalik kepada kata dan makna. Sedarkah kita bahawa kata-kata yang kita ungkapkan sehari-hari selalu kedengaran sama sahaja maknanya. Paling mudah kita katakan bersinonim. Lihat, pandang, tengok, renung, tenung, tonton, tinjau, intai, jeling dan banyak lagi dimensi visual yang kita lakukan sehari-hari sebenarnya mempunyai makna yang berbeza antara satu sama lain. Begitu juga dengan pandai, bijak, pintar, cerdik, cerdas, bijaksana, bestari. Cuma sempadannya terlalu kabur dan sukar untuk dibezakan. Inilah kerja-kerja ahli leksikografi...menyediakan makna bagi setiap kata agar setiap setiap kata mempunyai maknanya yang tersendiri. Adakah kata seperti cap jari manusia, yang semestinya ada beza? Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, July 29, 2008

Lupa..penyakit insan biasa

Sebaik pintu kereta kubuka, alamak! Kunci pejabat tertinggal di rumah...Aduh...Semalam aku pakai jeans, kunci di dalam poket, lupa nak ambil. Hmm...nampaknya aku akan menjadi penunggu la hari ni. SMS Ehsan, alhamdulillah Ehsan memang nak datang awal hari ni. Hmm...pergi sarapan dululah.

Begitulah manusia dan penyakit lupa sukar nak dipisahkan. Mungkin kita selalu beringat-ingat, namun sekali-sekala kita tetap akan terlupa. Banyak hikmah yang dapat diambil dari sifat manusia ini. Dengan terlupa, kita akan lebih berwaspada. Dengan terlupa, kita akan lebih menghargai orang lain. Dengan terlupa, kita bermuhasabah diri bahawa kita tidak sempurna. Dan dengan terlupa jugalah terpikul satu tanggungjawab di bahu setiap manusia untuk saling mengingatkan antara satu sama lain.

Allah berfirman dalam surah Al-'Asr yang bermaksud;

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan pada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.

Cukuplah untuk entri yang pertama, semoga ada yang baik untuk diriku.