Monday, August 18, 2008

ENGKAUlah tempat bergantung

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan)...yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah maaf kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Wednesday, August 13, 2008

Sebatang gigi seratus ringgit?

Sudah dua minggu temanku mengadu sakit gigi. Aku juga pernah diserang sakit gigi, tetapi bila sudah baik, aku lupa bagaimana rasa sakitnya. Yang aku tahu, sakitnya berdenyut-denyut sehingga makan pun tak lalu, tidur pun tak lena. Ish, bunyi macam kena penyakit angau pula. Sebagai teman, aku hanya menjadi pendengar sambil cuba berkongsi rasa. Paling kuat yang aku boleh tolong, aku belikan aspirin untuk membuatkan temanku sedikit lega selepas menelannya.
Malam tadi, sakit gigi temanku menyerang lagi. Kali ini serangannya nampak nekad, sehingga temanku yang ceria itu tak mampu tersenyum lagi. Mood temanku juga bagai gelombang air laut pada musim tengkujuh. Kuat geloranya, semuanya bahana sakit gigi yang menyerang. Aku lihat pipinya sudah mula membengkak. Wah, sudah serius ni...fikirku lantas menyarankan temanku agar ke klinik. Temanku akhirnya setuju walaupun dia paling tidak sukakan doktor dan klinik. Kereta dipandu laju, menghala ke sebuah klinik gigi milik seorang doktor Melayu lulusan UKM. Sebaik tiba, kami kecewa. Klinik tersebut hanya dibuka pada sebelah siang. Temanku tidak mahu ke klinik lain walaupun segala nama klinik yang aku nampak dari jalan kusebut. Akhirnya temanku mengajak pulang, katanya esok datang lagi. Aku hanya menurut, mungkin kesan aspirin telah mengurangkan sakitnya hingga dia bertangguh lagi.
5.00 pagi, tidurku terganggu dengan pergerakan temanku. Hah, dia bangun bersahur? Aku maklum temanku ini sungguh rajin berpuasa sunat bulan Syaaban, tapi kan dia sakit gigi dan bercadang ke klinik esok? Ah, mungkin dia lapar dan sengaja mengisi perut.
Subuh, temanku merengek. Katanya dia mahu ambil MC hari ini. Wah, temanku yang workaholic ini ingin minta MC?Tentu saja kerana sang gigi. Aku hanya mengangguk tanda faham. Sembilan pagi, kami bertolak ke klinik yang kami kunjungi semalam. Dengan bengkak yang semakin bertambah besar, doktor tidak mahu mencabut gigi itu, nanti sakit, kata doktor. Tunggu surut dulu bengkaknya, lima hari lagi baru boleh cabut. temanku membantah, lima hari menanggung azab diserang sakit gigi, dia tidak betah. "Cabut saja," katanya. Doktor akhirnya tiada pilihan dengan kedegilan pesakit.
Darah banyak yang keluar. Kata temanku, memang sakit. Bius yang dicucuk seolah tak berkesan. Tidak lama kemudian, gadis di kaunter memanggil nama temanku. Bebarapa peket ubat diberikan. Aku memasang telinga. Ada ubat tahan sakit, makan apabila sakit sahaja. Antibiotik perlu habiskan, sebab temanku telah kena infection. Semua sekali RM100. Wah, sebatang gigi berharga seratus ringgit hanya untuk dibuang? Mungkin kerana itulah sakitnya memang benar-benar sakit. Moralnya, jagalah gigi anda, kerana walaupun saiznya kecil, penangannya boleh tahan.hehe.

TAHNIAH BUAT PARA GRADUAN

Ogos...bulan di mana para siswazah yang telah berjaya menamatkan pengajian meraikan kejayaan mereka. Bulan ini meriah dengan pesta konvokesyen di IPT seluruh negara. Jubah-jubah pelbagai warna dengan mortarboard digayakan penuh kebanggan. Senyum melebar di wajah para siswazah dan air mata kegembiraan bergenang di tubir mata ibu dan ayah. Alhamdulillah, terbayar jua penat dan lelah.
Namun, jangan lekas leka dan alpa. Bemuhasabahlah walau hanya sebentar cuma. Apakah ilmu yang ditimba masih kekal di dada? Ataupun segalanya telah terpadam usai peperiksaan akhir atau penyerahan tesis? Adakah ilmu yang berharga tersebut bakal digunakan, digilap dan disebar serta dikongsi dengan masyarakat? Ilmu itu adalah amanah, kita insan berilmu punya tanggungjawab yang berat, kerana ilmu inilah yang diharapkan untuk menyembuhkan penyakit masyarakat yang semakin hari semakin tenat. Usah dikira dalam jurusan apa kita, semuanya ilmu dari Allah Yang Maha Mengetahui. Bersedialah untuk menggalas amanah. Gunakanlah ilmu akademik, ilmu agama dan rohani serta ilmu pengalaman untuk membimbing diri kita dalam arus dunia serta membimbing masyarakat ke arah keredhaanNya.
Sekali lagi kita bermuhasabah, berkatkah ilmu yang kita bangga-banggakan? Adakah keredhaan guru telah kita perolehi, adakah tiada lagi kesilapan kita yang tersimpan di hati rakan-rakan sekuliah, adakah kita sudah memohon keizinan dan kemaafan andai dulu tugasan rakan pernah kita ciplak? dan adakah kita masih belum berniat melangsaikan hutang yang menjadi tempat kita berharap suatu masa dahulu...