Wednesday, July 30, 2008

Kata dan Makna

Hari ni aku bangun awal, seawal 3.51 pagi, teringatkan kerja leksikografi yang belum siap sepenuhnya, dan kerja projek yang ingin diperkemaskan lagi. Bergegas ke bilik air, basuh muka agar segar sedikit. Setelah dua tiga helai nota Prof. Shima kubelek-belek, mengantuk datang menggoda. Aku termenung seketika di sofa, nak sambung tidur ke...nak buat kerja? Akhirnya akal dapat mengatasi nafsu...beberapa penambahbaikan dapat aku lakukan dalam kerja projek.
Alhamdulillah.
Berbalik kepada kata dan makna. Sedarkah kita bahawa kata-kata yang kita ungkapkan sehari-hari selalu kedengaran sama sahaja maknanya. Paling mudah kita katakan bersinonim. Lihat, pandang, tengok, renung, tenung, tonton, tinjau, intai, jeling dan banyak lagi dimensi visual yang kita lakukan sehari-hari sebenarnya mempunyai makna yang berbeza antara satu sama lain. Begitu juga dengan pandai, bijak, pintar, cerdik, cerdas, bijaksana, bestari. Cuma sempadannya terlalu kabur dan sukar untuk dibezakan. Inilah kerja-kerja ahli leksikografi...menyediakan makna bagi setiap kata agar setiap setiap kata mempunyai maknanya yang tersendiri. Adakah kata seperti cap jari manusia, yang semestinya ada beza? Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, July 29, 2008

Lupa..penyakit insan biasa

Sebaik pintu kereta kubuka, alamak! Kunci pejabat tertinggal di rumah...Aduh...Semalam aku pakai jeans, kunci di dalam poket, lupa nak ambil. Hmm...nampaknya aku akan menjadi penunggu la hari ni. SMS Ehsan, alhamdulillah Ehsan memang nak datang awal hari ni. Hmm...pergi sarapan dululah.

Begitulah manusia dan penyakit lupa sukar nak dipisahkan. Mungkin kita selalu beringat-ingat, namun sekali-sekala kita tetap akan terlupa. Banyak hikmah yang dapat diambil dari sifat manusia ini. Dengan terlupa, kita akan lebih berwaspada. Dengan terlupa, kita akan lebih menghargai orang lain. Dengan terlupa, kita bermuhasabah diri bahawa kita tidak sempurna. Dan dengan terlupa jugalah terpikul satu tanggungjawab di bahu setiap manusia untuk saling mengingatkan antara satu sama lain.

Allah berfirman dalam surah Al-'Asr yang bermaksud;

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan pada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.

Cukuplah untuk entri yang pertama, semoga ada yang baik untuk diriku.