Wednesday, August 13, 2008

TAHNIAH BUAT PARA GRADUAN

Ogos...bulan di mana para siswazah yang telah berjaya menamatkan pengajian meraikan kejayaan mereka. Bulan ini meriah dengan pesta konvokesyen di IPT seluruh negara. Jubah-jubah pelbagai warna dengan mortarboard digayakan penuh kebanggan. Senyum melebar di wajah para siswazah dan air mata kegembiraan bergenang di tubir mata ibu dan ayah. Alhamdulillah, terbayar jua penat dan lelah.
Namun, jangan lekas leka dan alpa. Bemuhasabahlah walau hanya sebentar cuma. Apakah ilmu yang ditimba masih kekal di dada? Ataupun segalanya telah terpadam usai peperiksaan akhir atau penyerahan tesis? Adakah ilmu yang berharga tersebut bakal digunakan, digilap dan disebar serta dikongsi dengan masyarakat? Ilmu itu adalah amanah, kita insan berilmu punya tanggungjawab yang berat, kerana ilmu inilah yang diharapkan untuk menyembuhkan penyakit masyarakat yang semakin hari semakin tenat. Usah dikira dalam jurusan apa kita, semuanya ilmu dari Allah Yang Maha Mengetahui. Bersedialah untuk menggalas amanah. Gunakanlah ilmu akademik, ilmu agama dan rohani serta ilmu pengalaman untuk membimbing diri kita dalam arus dunia serta membimbing masyarakat ke arah keredhaanNya.
Sekali lagi kita bermuhasabah, berkatkah ilmu yang kita bangga-banggakan? Adakah keredhaan guru telah kita perolehi, adakah tiada lagi kesilapan kita yang tersimpan di hati rakan-rakan sekuliah, adakah kita sudah memohon keizinan dan kemaafan andai dulu tugasan rakan pernah kita ciplak? dan adakah kita masih belum berniat melangsaikan hutang yang menjadi tempat kita berharap suatu masa dahulu...

No comments:

Post a Comment